fbpx

PKPD Asrama Pekerja Westlite dilanjutkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Asrama Pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya bermula 9 hingga 22 Januari depan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu dijadualkan tamat 8 Januari ini namun kerajaan bersetuju melanjutkannya atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,303 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 555 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Bagaimanapun, KKM mengesahkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di asrama ini masih lagi tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) di submukim Ipoh, Perak bermula 7 sehingga 20 Januari depan.

Beliau menjelaskan, KKM hari ini melaporkan berlaku peningkatan kes positif Covid-19 di submukim tersebut.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat 106 kes positif Covid-19 telah dilaporkan secara bertaburan di dalam submukim Ipoh dan daripada jumlah itu sebanyak 89 kes adalah daripada jangkitan tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

“KKM turut mengesahkan terdapat kluster yang masih aktif melibatkan kawasan kilang yang bertumpu dalam beberapa kawasan perindustrian di submukim ini yang berisiko kepada penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Ujarnya, pelaksanaan PKPB itu bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan untuk mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di kawasan ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI