fbpx

Pesakit rayu cepatkan proses pindah ke Pulaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan di PKRC, Kompleks Sukan Balik Pulau, Pulau Pinang di sini malam ini.

BALIK PULAU – Pesakit warga tempatan yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Kompleks Sukan Balik Pulau merayu supaya proses perpindahan mereka ke Pusat Latihan Zakat (Pulaza) di Jalan Pantai Acheh di sini dipercepatkan.

Ini berikutan rata-rata mereka tidak sanggup lagi berdepan dengan kesesakkan dan terpaksa berebut makanan, ruang solat serta bilik mandi dengan ratusan pesakit bukan warganegara yang turut menjalani kuarantin di situ.

Masing-masing mereka tidak sabar untuk diasing dari lokasi berkenaan dan dikatakan menunggu dari awal pagi tadi untuk dipindahkan ke Pulaza seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Seorang pesakit warga tempatan yang enggan dikenali berkata, keadaan di PKRC amat mengecewakan selain tiada pemantaun oleh pihak berkaitan.

“Layanan di sini bukan seperti mana yang kita imaginasikan. Tiada ubat, tiada doktor pantau. Hanya berehat di atas katil di tempat yang tidak bersih. Lebih baik dikuarantin di rumah sendiri,” katanya menerusi sistem pesanan ringkat (SMS) di sini malam ini.

Dalam pada itu, seorang lagi pesakit turut meminta agar pihak bertanggungjawab mempercepatkan proses perpindahan dan pengasingan dengan warga asing di pusat kuarantin tersebut.

“Saya rasa sangat kecewa kerana selama ini saya hanya tonton di kaca televisyen. Saya ingatkan ada penjarakan antara pesakit, tetapi kami dihimpunkan macam pelarian, sangat jauh berbeza dengan tanggapan saya sebelum ini,” keluhnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd. Tuah Ismail ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihaknya dimaklumkan kemungkinan proses perpindahan pesakit akan dijalankan esok berikutan kerja-kerja pendawaian elektrik dan persiapan katil pesakit sedang dilakukan di Pulaza.

Terdahulu, Mohd. Tuah dengan kerjasama Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) menyerahkan sumbangan sebanyak 1,000 botol minuman, pelitup muka dan makanan kepada barisan hadapan di pusat berkenaan petang tadi.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan pesakit-pesakit terbabit akan dipindahkan segera ke Pulaza selepas isu berkaitan kebersihaan dan kesesakan menghantui mereka selain terpaksa dikuarantin dengan warga asing. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI