fbpx

Pemecatan saya tidak sah – Annuar Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar

PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa mendakwa pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) adalah tidak sah.

Ahli Parlimen Ketereh itu menjelaskan pemecatannya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dibuat ketika mesyuarat Ketua Bahagian UMNO dan bukannya atas kapasiti pengerusi BN.

“Sepatutnya perkara (pemecatan) ini dibincangkan dan mengambil kira pandangan parti-parti komponen lain bukannya pada peringkat Majlis Tertinggi UMNO.

“Jadi saya cadangkan, pecat saya sekali lagi pada mesyuarat BN,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini.

Ditanya sama ada beliau menerima surat rasmi berhubung pemecatannya, Annuar mengesahkan tidak menerima apa-apa surat berhubung perkara itu.

“Saya tidak terima lagi, namun Setiausaha Agong BN yang baharu dilantik, Datuk Seri Ahmad Maslan ada text (mesej) kepada saya. Dia jelaskan dia tidak minta jawatan itu,” katanya.

Pada masa sama, Annuar memaklumkan beliau reda menerima pemecatan itu dan berserah kepada Allah S.W.T.

“Saya akan berjuang atas wadah perjuangan UMNO dan akan terus menyumbang ke arah UMNO yang bermaruah, berintegriti dan kekal memimpin penyatuan ummah dan menunjangi permuafakatan nasional,” katanya.

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih atas kesempatan berkhidmat sebagai Setiausaha Agung BN selama tempoh tersebut.

Ketika menjawab dakwaan bahawa beliau akan keluar dari parti UMNO, Annuar bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Sebab apa nak (hendak) keluar,  tiada siapa halau saya pun.

“Sebab pemecatan ini, komitmen saya bertambah.

“Jika sebelum ini, saya terikat dengan keputusan parti jadi, selepas ini saya dapat bantu parti dengan lebih lagi kerana tidak lagi menjadi Setiausaha Agung BN,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI