MADRID – Pasukan-pasukan gergasi Eropah kini mengikuti rapat perkembangan kapten Real Madrid, Sergio Ramos yang dikatakan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama pasukan itu.
Sebelum ini, terdapat laporan mendakwa pemain itu sudah bersetuju untuk menandatangani sambungan kontrak selama dua tahun yang akan menyaksikannya kekal di Santiago Bernabeu sehingga 2023.
Bagaimanapun, perkembangan terbaharu mendapati Ramos belum mencapai kata sepakat dengan pengurusan Real memandangkan kelab itu menawarkan gaji lebih rendah.
Justeru, pemain antarabangsa Sepanyol itu kini bebas untuk mengadakan perbincangan dengan kelab lain dan dia boleh meninggalkan Real Julai nanti.
Selain Ramos, kontrak beberapa pemain utama lain juga bakal tamat pada musim panas nanti dan keadaan itu sekali gus memberi tekanan kepada jurulatih, Zinedine Zidane.
Sebagai rekod, pemain berusia 35 tahun itu memiliki rekod cemerlang bersama Real apabila sudah menjaringkan 100 gol dalam 666 penampilan biarpun beraksi di posisi pertahanan.
Difahamkan, beberapa pasukan seperti Manchester City, Paris Saint-Germain (PSG) dan Manchester United sedia untuk memenuhi permintaan gaji yang dimahukan Ramos. – AGENSI