fbpx

Nana nangis cari kuda dapat perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nana memeluk Blicka yang ditemui kira-kira dua kilometer selepas dihanyutkan banjir sejak Sabtu lalu

PETALING JAYA – Kisah kehilangan dua ekor kuda milik seorang wanita di Kampung Dong, Raub, Pahang mendapat perhatian netizen selepas dia memuat naik video kejadian itu kelmarin.

Video berdurasi satu minit 10 saat yang dimuat naik di Facebook pemilik haiwan berkenaan, Nur Farhana Abdul Muin, 33, memaparkan wanita itu merayu agar penduduk kampung dan orang ramai membantu mencari kedua-dua kudanya yang hilang sejak Sabtu lalu.

Menerusi video tersebut, Nur Farhana atau lebih mesra dipanggil Nana kelihatan menangis teresak-esak kerana kedua-dua kuda yang diberi nama Blicka (ibu kuda) dan Blichoe (anak kuda) merupakan kuda kesayangannya.

Menurut Nana, hasil pencariannya bersama rakan dan penduduk kampung, akhirnya kedua-dua haiwan itu ditemui kira-kira pukul 4.40 petang semalam.

Dia bersyukur kerana kuda kesayangan telah ditemui, namun apa yang menyedihkan salah seekor daripadanya telah mati.

“Kuda yang mati itu adalah anak kuda kesayangan saya berwarna coklat. Blichoe ditemui penduduk kampung kira-kira 500 meter dari kandang yang terletak berhampiran rumah saya.

“Ibu kuda pula ditemui kira-kira dua kilometer dari kandang dan ketika ditemui ia dalam keadaan lemah dan kurus. Meskipun kehilangan Blichoe, saya bersyukur kerana Blicka ditemui selamat,”katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Nana berkata, dia amat menyayangi anak kuda berwarna coklat itu kerana warnanya yang menyerupai warna ibu kuda yang ditemui selamat itu.

“Dua ekor lagi anak kuda berwarna putih menyerupai bapa mereka. Kini kuda peliharan saya tinggal empat ekor termasuk Blicka yang telah ditemui semula petang semalam,”jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai banjir di kawasannya di Dong, Raub itu, dia berkata banjir tersebut adalah banjir besar dan terburuk yang pernah berlaku sehingga menjejaskan kandang dan rumah keluarganya.

“Saya tidak sangka banjir kali ini besar kerana sekitar kandang kuda saya ini kawasan tinggi dan kali terakhir keluarga saya beritahu banjir seumpama ini berlaku pada tahun 1971,”kata pemilik sebuah kedai penjagaan haiwan di Bandar Raub, Pahang.

Sementara itu, video yang dimuat naik di Facebook Nana (Nana B Cats) itu telah ditonton lebih 11,000 tontonan dan dikongsi lebih 120 kali sejak dimuat naik kelmarin.

Rata-rata netizen berkongsi kisah menyayat hati itu dengan rakan dan ahli keluarga lain serta turut berdoa agar banjir di kawasan Nana dan Pahang kembali pulih.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI