PETALING JAYA – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang sedang berlangsung ketika ini di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur menimbulkan pelbagai spekulasi.
Ia gara-gara begitu banyak isu yang timbul kebelakangan ini, termasuklah membabitkan pemecatan Tan Sri Annuar Musa selaku Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) semalam serta desakan ahli UMNO untuk memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Antara pemimpin UMNO yang hadir di mesyuarat tersebut termasuklah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.
Turut hadir barisan Ahli MKT UMNO seperti Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman, Datuk Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Azalina Othman Said serta Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – K! ONLINE