fbpx

Liu Ying akui diselubungi rasa takut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIU YING mengakui fokusnya terjejas untuk kejohanan Terbuka Thailand pada 12 Januari ini susulan peningkatan kes Covid-19 di Bangkok ketika ini.

PEMAIN beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying mengakui dia tidak boleh memberikan tumpuan terhadap kejohanan badminton Terbuka Thailand di Bangkok yang dijadualkan bermula 12 hingga 17 Januari ini.

Sebaliknya, pemain berusia 32 tahun itu diselubungi rasa takut ekoran peningkatan kes Covid-19 di negara Gajah Perang itu sehingga menyebabkan kerajaan Thailand mengumumkan perintah berkurung di Bangkok.

Liu Ying yang sudah tiba di Bangkok bagaimanapun menjelaskan, pemain-pemain negara sedang menjalani kuarantin di hotel dan dijangka perlu melakukan beberapa ujian calitan bagi memastikan mereka bebas virus berkenaan.

“Ini adalah kejohanan pertama selepas lama berehat dan saya akui agak sukar kerana perlu serahkan banyak dokumen. Mereka benar-benar mahu pastikan semuanya selamat.

“Kalau tanya perasaan saya, sangat berbeza dengan keadaan sebelum ini. Secara jujur, saya tidak boleh fikir mengenai kejohanan kerana takut dengan kea­daan semasa.

“Memang mereka sudah buat perintah berkurung di sini tetapi kami semua duduk di hotel sahaja. Kami mungkin perlu jalani ujian calitan lagi selepas ini bagi memastikan keselamatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas mengenai saingan di sana, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu percaya banyak keputusan tidak dijangka akan berlaku kerana semua pemain sudah lama tidak beraksi secara kompetitif.

“Bagi saya banyak keputusan yang sukar dijangka akan berlaku pada kejohanan ini kerana sudah lama tidak bermain. Bagaimanapun, sasaran saya dan (Chan) Peng Soon adalah untuk layak sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir.

“Kami akan bermain pada dua kejohanan Terbuka Thailand, jadi kami sasar untuk layak ke separuh akhir. Kemudian baru kami akan fikir mengenai saingan Jelajah Dunia Akhir 2020 hujung bulan ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI