fbpx

‘Hati kami rasa tak sedap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHASAN (kiri) menunjukkan gambar Allahyarham anaknya ketika ditemui di rumahnya di Taman Suria, Kluang semalam.

KLUANG – Ibu bapa kepada Ikmal Hakimi Mahasan, 21, yang ditemui lemas di sungai Kampung Bentong di sini tengah hari kelmarin mendedahkan, mereka tidak sedap hati seperti ada sesuatu tidak kena beberapa hari sebelum kematian anak sulung­nya itu.

Bapa pelajar tahun dua Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) itu, Mahasan Mohd. Daud, 50, berkata, pada Ahad lalu, mereka sekeluarga kecuali Ikmal pulang ke kampung di Kelantan.

“Sepanjang perjalanan itu, hati saya rasa sayu sebab tak dapat bawa dia bersama kami untuk merasai pengalaman menaiki kereta api Bukit Korek di Kelantan. Ikmal atau nama panggilan Kim tidak mahu ikut kami kerana dia ada kelas online.

“Kali terakhir saya bercakap dengannya iaitu sehari sebelum kami pergi ke Kelantan. Saya beri­tahu dia kalau hendak ke mana-mana, mesti maklumkan kepada saya dan ibunya walaupun nak ke kedai berdekatan rumah,” katanya ketika ditemui di Taman Suria di sini semalam.

Menurut Mahasan, pada pukul 9 pagi kelmarin, dia yang bertugas sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu Nyior bersama rakan dan penduduk kampung mencari Kim di sungai Kampung Bentong selepas mendapat berita kehila­ngan.

IKMAL HAKIMI

“Polis sampai pukul 11 pagi dan mereka ternampak sesuatu objek dalam sungai. Sebelum ini orang kampung dah nampak objek berkenaan yang disangka tayar kereta sorong.

“Polis mengesahkan itu adalah tayar kereta dan hasil pemeriksaan menemui Perodua Axia yang dipandu anak saya,” kata­nya.

Bagaimanapun, ujarnya, pemeriksaan lanjut di dalam kereta termasuk di dalam but tidak menemui Kim dan dia berasa sedikit lega.

“Saya anggap itu berita gembira, namun selang beberapa minit, saya nampak anggota bomba berlari-lari dan mereka kemudian memanggil saya untuk membuat pengecaman mayat. Sedihnya hati apabila itu ialah Kim,” ujarnya.

Mahasan berkata, anaknya itu disifatkan sebagai seorang anak yang bercita-cita besar untuk menjadi seorang diplomat di luar negara.

Jenazah Ikmal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Manan di sini kira-kira 6 petang kelmarin.

Kejadian pada Ahad lalu itu berlaku apabila Ikmal dikatakan keluar dari rumahnya di Taman Suria di sini pukul 6 petang untuk ke rumah rakan seuniversiti di Kampung Bentong.

Selepas mengetahui jalan ke Kampung Bentong dinaiki air, mangsa menggunakan laluan alternatif di Kampung Melayu Nyior di sini.

Bagaimanapun, ketika cuba meredah banjir, kereta dipandu mangsa terjatuh ke dalam parit sebelum dihanyutkan arus deras.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI