fbpx

Dua ah long beri pinjaman tanpa lesen didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ong Chin Heng (dua dari kiri) dan K. Mathavan dibawa ke Mahkamah Majistret dan Sesyen Taiping hari ini atas dakwaan memberi pinjam wang tanpa lesen kepada peniaga OKU Sabtu lalu.

TAIPING – Dua peminjam wang tanpa lesen atau ah long dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi pinjam wang tanpa lesen kepada seorang peniaga orang kelainan upaya (OKU) Sabtu lalu.

Di Mahkamah Sesyen, tertuduh, Ong Chin Heng, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Mengikut pertuduhan, Chin Heng didakwa menjalankan perniagaan pemberi pinjam wang tanpa lesen yang sah daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan memberi pinjam wang berjumlah RM25,000 dan mengenakan faedah kepada S. Mogan, 47.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di bengkel motosikalnya di Taman Kami, Aulong di sini pada pukul 2 petang 2 Januari lalu.

Tertuduh yang juga pemilik bengkel itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum denda sehingga RM1,000,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Chin Heng diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis setiap 1 haribulan sehingga kes selesai serta tidak boleh menggangu mangsa. Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan dan mahkamah menetapkan 14 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret, K. Mathavan, 49, turut mengaku tidak bersalah atas kesalahan membantu pemberi pinjam wang tanpa lesen di lokasi dan waktu yang sama.

Dia yang bekerja sebagai mekanik di bengkel Ching Heng didakwa di bawah Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang boleh dihukum penjara sehingga dia tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar wang jaminan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Siti Nor Rasyidah M. Nadzri dan Timbalan Pendakwa Raya, Faakihin Ahmad Fauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI