JEDDAH, ARAB SAUDI – Juara tiga kali Rali Dakar, Nasser Al-Attiyah kembali mencuri tumpuan apabila memenangi perlumbaan peringkat kedua Rali Dakar selepas berjaya melepasi cabaran sepanjang 457 kilometer dari Bisha ke Wadi Ad-Dawasir.
Nasser yang menamatkan perlumbaan tempat kesepuluh pada peringkat pertama semalam bangkit semula apabila tampil cemerlang selepas menamatkan saingan dengan catatan masa empat jam tiga minit 14 saat.
Nasser meninggalkan dua pelumba pasukan Mini X-Raid, Stephane Peterhansel dan Carlos Sainz selepas masing-masing menamatkan perlumbaan tempat kedua dan ketiga.
Hasil kemenangan itu, Nasser yang beraksi bersama pasukan Toyota Gazoo Racing kini menduduki tangga ketiga keseluruhan selepas hanya dipisahkan sembilan minit 14 saat di belakang Peterhansel.
“Semalam kami gagal melakukan yang terbaik kerana berdepan masalah pada jentera. Kami tidak mahu mengambil risiko yang terlalu besar hingga boleh ketinggalan masa yang terlalu jauh.
“Hari ini kami berjaya mengejar semula kedudukan dan berada tempat ketiga keseluruhan. Saya gembira kami meraih kemenangan di peringkat kedua. Jentera beroperasi dengan baik meskipun saingan dilihat semakin mencabar,” kata Nasser.
Juara Rali sembilan kali, Sebastien Loeb yang kembali beraksi di Rali Dakar musim ini menduduki tangga ke-17 keseluruhan selepas mengakhiri perlumbaan di kelompok enam terbaik di peringkat kedua semalam.
Dalam kategori motosikal, pelumba pasukan Monster Energy Honda Team, Joan Berreda menguasai peringkat kedua perlumbaan dengan catatan empat jam 17 minit 56 saat.
Pelumba Australia, Toby Price (Red Bull KTM Factory Racing) yang menjuarai peringat pertama kelmarin sekadar tempat ke-28 selepas berdepan masalah navigasi hingga ketinggalan 17 minit keseluruhan. – AGENSI