SOUTHAMPTON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mahu para pemainnya memberikan reaksi segera selepas kekalahan 0-1 kepada Southampton awal pagi semalam.
Gol awal perlawanan menerusi Danny Ings yang melakukan sepakan lambung menarik menewaskan Alisson sudah cukup buat tuan rumah untuk meraih tiga mata berharga.
Klopp mengakui aksi perlahan yang dipamerkan oleh pasukannya pada awal permainan akhir memakan diri sekali gus menyebabkan mereka terpaksa menanggung kekalahan.
“Apakah ini satu kekecewaan? Berapa lama kami perlu terus meratapi? Ini adalah permulaan untuk kami mengubahnya, itu sudah pasti.
“Bukan sahaja mengenai gol tersebut tetapi secara keseluruhan aksi. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Southampton, mereka layak untuk menang.
“Anda tahu mengenai kemampuan mereka, ia bukan suatu yang mengejutkan tetapi kami seperti terkejut dengan aksi dipamerkan oleh Southampton.
“Pada awal permainan, kami banyak kehilangan bola, kami bermain dengan cara mereka. Sepatutnya kami mampu memberikan aksi lebih baik,” kata Klopp.
Sepanjang aksi tersebut, hanya satu percubaan daripada Sadio Mane yang dilihat mengancam kubu Southampton, manakala selebihnya langsung tidak mencabar keupayaan penjaga gol The Saint, Fraser Foster.
“Mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh. Beberapa keputusan yang kami lakukan tidak begitu baik. Kami kehilangan momentum menyebabkan kami juga kurang mendapat peluang,” jelasnya.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool hanya meraih dua mata dalam tiga perlawanan yang mereka sertai selepas perayaan Hari Krismas. – AGENSI