PADANG BESAR – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis merampas 96,160 botol cecair rokok elektronik atau vape pelbagai jenama bernilai RM1.8 juta yang cuba diseludup ke Thailand di Jalan Kaki Bukit, berhampiran Timah Tasoh dekat sini hari ini.
Komandernya, Deputi Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, bertindak daripada maklumat risikan, pihaknya menahan sebuah lori tiga tan dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun pada pukul 10.15 pagi.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemui 196 kotak berisi cecair vape dipercayai mengandungi nikotin yang diisytiharkan sebagai minyak wangi bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Cecair vape ini dipercayai dibawa dari Kuala Lumpur untuk dipasarkan ke Thailand yang mana siasatan mendapati sindiket ini telah beroperasi sejak lima bulan lalu.
“Kekerapan perjalanan membawa keluar cecair vape ini disyaki sebanyak dua kali seminggu,” katanya ditemui di Aksem Chuping di sini hari ini. – K! ONLINE