PETALING JAYA – Polis menahan tujuh wanita warga asing yang melakukan aktiviti pelacuran dalam dua serbuan di premis perkhidmatan urut di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan Ops Noda bermula pukul 10.25 malam itu turut menahan dua lelaki tempatan berusia 25 dan 54 tahun yang dipercayai penjaga premis berkenaan.
“Berdasarkan pemerintahan awal, wanita warganegara Vietnam dan Thailand yang berusia 25 hingga 37 tahun itu menawarkan khidmat seks di pusat berkenaan.
“Hasil semakan juga mendapati semua wanita terbabit turut memiliki dokumen perjalanan yang telah tamat tempoh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan.
Saiful Annuar berkata, pemeriksaan lanjut di dalam lokasi berkenaan turut menemui beberapa keping jadual kerja dan pendapatan pelacuran, tuala, kondom dan wang tunai sebanyak RM370.
Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sentul untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam kegiatan persundalan dan Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tinggal lebih masa di negara ini.
“Manakala dua lelaki tempatan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana mengurus rumah persundalan,” jelasnya. – K! ONLINE