AMPANG JAYA – Polis berjaya memberkas tiga individu dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah yang bergiat aktif sejak tiga tahun lalu di sekitar Lembah Klang pada 1 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas maklumat pengedaran dadah pada 1 Januari, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya berjaya menahan seorang lelaki di kawasan Pandan Perdana, Ampang, Selangor.
“Lelaki tersebut ditahan di dalam kereta jenis Nissan Sentra lebih kurang pukul 9.30 pagi semasa pihak polis menjalankan Ops Ambang Tahun Baru 2021.
“Hasil pemeriksaan telah menjumpai sebilah parang panjang lebih kurang 27 inci, satu objek menyerupai pistol warna hitam bertulisan Sig Sauer beserta kelopak berisi 10 butir peluru hidup (9 MM) dan 460 biji pil disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya pada sidang akhbar di IPD Ampang Jaya hari ini.
Mohamad Farouk berkata, hasil soal siasat suspek turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan seorang perempuan di sebuah rumah di kawasan Pandan Perdana berdekatan dengan tempat suspek utama ditahan.
“Polis juga berjaya merampas disyaki dadah jenis syabu (3.6 gram) dan 10 biji disyaki dadah jenis pil ekstasi (5.5 gram).
“Hasil siasatan dapati salah seorang suspek telah mengaku senjata api yang ditemui adalah milik suspek yang digunakan bagi tujuan perlindungan diri,” jelasnya.
Katanya, senjata itu dibeli dari negara jiran dengan harga RM17,000 sejak awal tahun 2019 manakala bekalan dadah jenis ekstasi diperolehi dari pengedar di kawasan Lembah Klang.
“Kesemua suspek telah ditahan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah mulai 2 hingga 8 Januari 2021 untuk siasatan lanjut.
“Semakan rekod dapati suspek berusia 38 tahun mempunyai satu rekod lampau dadah, manakala suspek berusia 51 tahun mempunyai tiga rekod lampau dadah. Suspek perempuan pula yang berusia 46 tahun tidak mempunyai rekod lampau,” ujarnya.
Menurutnya, ujian air kencing ke atas dua suspek lelaki dapati positif dadah jenis Methamphetamine dan suspek perempuan adalah negatif.
Dalam tangkapan itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Mark X turut disita untuk siasatan lanjut, keseluruhan rampasan dadah bernilai RM6,000 dan nilai sitaan RM60,000.
Kes disiasat di bawah undang-undang Seksyen 39B, Seksyen 39A (1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 8 Akta Senjatapi dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. – K! ONLINE