Oleh SAFINA RAMLI
DALAM industri e-sukan Malaysia, menjadi sebahagian daripada Team Bosskurr Gaming (Bosskurr) adalah idaman pemain permainan Mobile Legends (ML) dan PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG).
Memiliki pengikut seramai 219,000 dalam Facebook dan 246,000 pada Instagram, mereka yang menjadi sebahagian daripada Bosskurr sudah pasti mempunyai masa depan cerah dalam bidang sukan elektronik itu.
Salah seorang pemain ML yang merupakan anak jati Teluk Bahang, Pulau Pinang, Helmi Husaini Abd. Rahim, 20, atau lebih dikenali sebagai Tanjiro turut memasang impian untuk menjadi anak didik pasukan Bosskurr.
Helmi yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, Bosskurr terdiri daripada pemain e-sukan profesional negara seperti Faris Zakaria (Soloz), Herwin Baharudin (Rush), Abdul Wandi (Logan), Sofian Sultan (Penjahat), Andi Alfian (Gripex) dan Ahmad Fuad Razali (Fredo) yang menjadi idola kebanyakan pemain e-sukan termasuk dirinya.
Menurut Helmi, dia tidak pernah mempunyai penaja atau dididik oleh pemain e-Sukan profesional sepanjang bergiat aktif dalam bidang berkenaan pada tahun 2018.
“Sepanjang saya bermain ML, pasukan yang saya sertai tidak mempunyai penaja dan saya tidak pernah dilatih secara profesional dalam e-Sukan.
“Pada masa ini, Bosskurr sedang mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang e-Sukan di seluruh negara.
“Saya berazam untuk menjadi sebahagian daripada ahli Bosskurr agar boleh memahami dengan lebih mendalam selok -belok bidang e-Sukan secara profesional,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Helmi yang mempunyai laman penstriman langsung sendiri iaitu Tanjiro Gaming berkata, antara kelebihan menjadi anak didik pasukan profesional seperti Bosskurr ialah pemain akan dapat menumpukan sepenuh masa mengasah bakat dan skil dalam permainan ML.
“Pada masa ini saya hanya berlatih sendiri dengan rakan sepasukan saya iaitu Mimic U selama lapan jam setiap hari.
“Jika dapat dididik oleh pemain profesional yang lain sudah pasti dunia e-Sukan negara ini akan lebih meriah dengan bakat-bakat baharu,” katanya.
Helmi yang menjadikan atlet e-Sukan profesional ML dari Indonesia, RRQ R7 sebagai atlet kegemaran berkata, dia dan pasukan Mimic U berazam untuk melayakkan diri pada kejohanan Liga Profesional Malaysia ( MPL) bagi permainan ML pada tahun ini.
“MPL adalah liga yang perlu kami hadapi untuk bergelar pemain profesional sukan elektronik kerana ia merupakan platform bakat-bakat baharu dicungkil.
“Kalau kami berjaya menempatkan diri di situ, masa depan kami dalam bidang sukan elektronik akan turut cerah,’’ katanya.
Tambahnya, minatnya dalam dunia e-Sukan pernah mendapat tentangan keluarga, namun segalanya berubah apabila dia cuba menyertai ujian kelayakan untuk mewakili Pulau Pinang pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020.
“Pada masa itu, pasukan saya hanya berjaya menjadi pasukan kedua terbaik dan tidak dapat mewakili Pulau Pinang pada Sukma 2020.
“Apabila saya pulang ke rumah dan tunjukkan medal serta sijil penyertaan kepada ahli keluarga, maka persepsi mereka terhadap sukan elektronik ini berubah dan mereka mula menyokong minat saya,” katanya.
Pada masa sama, anak muda itu turut meneroka bidang perniagaan berkaitan e-Sukan dengan menawarkan kepakarannya sebagai pencipta logo dan banner bagi pemain-pemain sukan elektronik.
“Saya mula buka tempahan pada tahun lalu selepas ramai rakan menempah logo dan banner untuk laman penstriman masing-masing.
“Mereka yang berminat mendapatkan logo atau banner boleh meninjau laman Instagram saya @tanjiro_logo.shop,” katanya.