KOTA BHARU – Setiap penjawat awam di Kelantan akan menerima wang tambahan bantuan khas sebanyak RM400 yang diberikan oleh kerajaan negeri.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bayaran itu akan dibuat kepada seramai 6,854 penjawat awam pada 21 Januari ini.
“Tambahan bayaran ini menjadikan setiap seorang penjawat awam akan menerima sebanyak RM1,000.
“Bantuan itu sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam atas komitmen kerja keras selain pencapaian surplus empat tahun berturut-turut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Amanat Khas Tahun Baharu 2021 dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Ahmad, penjawat awam lantikan politik turut menerima wang tambahan sebanyak RM200 m daripada RM300 kepada RM500 setiap seorang.
Tambahnya, beliau berharap pemberian itu menjadi pemangkin kepada budaya kerja yang cemerlang bagi tahun yang akan datang.
Pada November lalu, kerajaan negeri dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM600 kepada kakitangan awam, selain RM300 untuk lantikan politik.
Lantikan politik iaitu membabitkan penghulu, kakitangan pegawai halaqah, guru al-Quran dan fardu ain, guru sekolah pondok dan sebagainya. – K! ONLINE