fbpx

Takkan nak mengaku kekasih wanita lain – Harris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARRIS ALIF

JIKA sebelum ini nama Harris Alif dikenali sebagai penyanyi atau pelakon kanak-kanak, tetapi kini jejaka itu acapkali disebut sebagai kekasih Intan Ladyana.

Harris atau nama lengkapnya Nor Harris Alif Nor Rashidi hanya melepaskan ketawa kecil saat ditanyakan mengenai reaksinya terhadap situasi itu. 

Adakah wujud rasa kurang senang dalam dirinya tatkala ada yang mengatakan dirinya seakan-akan ‘meminjam’ populariti kekasihnya itu.

 “Apa sahaja pandangan orang lain adalah luar bidang kuasa saya. Sejujurnya tidak menjadi masalah sekiranya khalayak mengenali saya sebagai teman lelaki Intan kerana perkara itu memang benar. 

“Sekiranya tidak, mustahil untuk saya mengaku sedang menjalin hubungan dengan dia. Jika saya tidak mengaku sebagai kekasih Intan, adakah saya patut mengaku menjadi teman lelaki wanita lain,” kata Harris mengenai hubungannya yang telah terjalin sejak hampir setahun lalu. 

Biarpun tidak menghiraukan kata-kata orang, tetapi tidak dinafikan namanya semakin dikenali sejak perhubungan dengan Intan diketahui umum Mei tahun lalu. 

Terdorong dek kisah percintaan, Harris kemudian melancarkan sebuah single baharu yang kononnya didedikasikan buat pujaan hati. Lebih istimewa, Intan sendiri tampil sebagai watak utama dalam video muzik terbabit. 

HARRIS menyifatkan artis baharu masa kini lebih mudah untuk menonjolkan bakat berbanding pada awal pembabitannya dalam industri. Dahulu, dia harus menyertai pelbagai pertandingan nyanyian untuk menyerlahkan bakat dalam industri.

Berjudul Anugerah, lagu yang dihasilkan oleh Archie Nasution itu seperti menggambarkan kisah percintaan Harris dengan Intan. 

Melodinya juga sesuai untuk diletakkan dalam senarai muzik pilihan pasangan bercinta dan lagu majlis perkahwinan.  

Kata Harris, bukan sahaja melodinya mudah dihadam pendengar, malah liriknya juga menggambarkan besarnya cinta buat pasangan. 

Anugerah juga pantas menjadi lagu kegemaran Harris. Tiada konsep angkat bakul sendiri, Harris sejujurnya jatuh cinta dengan Anugerah saat kali pertama mendengarkan demo lagu terbabit. 

Bermula dari situ Harris berusaha untuk menjiwai lagu tersebut yang menjadi cabaran buatnya. Kata Harris, tanggungjawab memasukkan ‘jiwa’ ke dalam lagu tersebut bukan satu perkara mudah. 

Dia harus mengambil masa selama tiga hari untuk betul-betul menghidupkan imiginasi lagu ke alam realiti.  

“Bahagian paling mencabar dan agak sukar ialah penghayatan. Saya perlu benar-benar mendalami untuk serasikan diri dengan keseluruhan idea Anugerah.

 “Kemudian, saya juga harus memahami secara mendalam konteks dan mesej yang perlu disampaikan, termasuk menyalurkan emosi untuk membuatkannya lebih hidup.

“Saya harus mengucapkan terima kasih kepada Archie yang banyak membantu untuk melancarkan penghayatan serta emosi dalam nyanyian sepanjang proses rakaman,” terang Harris panjang lebar mengenai proses rakaman lagu Anugerah yang telah diluncurkan sejak Disember lalu. 

PENGALAMAN 10 tahun dalam industri membuatkan Harris cukup lali dengan skeptikal ramai yang mendakwa dirinya menumpang populariti Intan Ladyana.

Kebetulan bercinta

Terus bercerita mengenai ‘anak kesayangannya’ itu, Harris mengatakan single terbaharunya tidak dihasilkan semata-mata kerana sedang asyik bermain cinta dengan kekasihnya. 

Menurut Harris, dia hanya menggalas tanggungjawab dan kepercayaan komposer serta pihak pengurusan, Sony Music Malaysia untuk menyanyikan lagu berkenaan dengan baik selain emosinya sampai kepada pendengar.

Meskipun Harris mengatakan lagu tersebut diciptakan Archie buat isterinya, tetapi bagi jejaka kelahiran Pulau Pinang itu, single Anugerah turut didedikasikan buat wanita yang kini bertakhta di hatinya.

“Sebenarnya Archie menulis lirik lagu ini untuk isterinya. 

“Hakikatnya, sebagai penyanyi, saya cuma meneruskan tanggungjawab memberikan jiwa dalam nyanyian agar mesej yang cuba disampaikan tepat menusuk ke hati pendengar. 

“Dalam pada itu saya juga tujukan lagu Anugerah ini kepada seseorang yang istimewa,” katanya seraya ketawa.

Pada masa sama lagu Anugerah turut membuka peluang buatnya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian setelah selama ini tumpuannya lebih fokus terhadap bidang pengacaraan.

HARRIS mengharapkan peminat memberi sokongan terhadap single baharunya bertajuk Anugerah yang disifatkan terlalu istimewa buat dirinya selain mendedikasikan lagu tersebut kepada si kekasih hati, Intan Ladyana.

Fokus nyanyian

Bersesuaian dengan waktu pelancaran iaitu pada akhir 2020, Harris turut berbicara tentang perancangannya bagi tahun 2021.

Tempoh 10 tahun bergelumang dalam industri telah memberinya peluang menimba pengalaman daripada pelbagai cabang. 

Bagaimanapun, selama tempoh tersebut, dia belum meraih posisi selesa dalam bidang nyanyian.

Berbeza dengan penyanyi yang seangkatan mahupun masih baharu dalam industri, kedudukan Harris kelihatan pada skala sederhana. 

Atas alasan tersebut, tahun ini dia berhasrat untuk menumpahkan lebih tumpuan terhadap nyanyian berbanding pengacaraan.

“Sejujurnya saya berasa sangat rindu untuk membuat persembahan di atas pentas. 

“Kehadiran lagu Anugerah secara tidak langsung membuatkan saya teruja untuk kembali bergiat aktif dalam bidang nyanyian,” tutur lelaki berusia 21 tahun itu.

Asyik bercerita rencana karier, Harris tidak dapat lari daripada meleraikan pertanyaan umum tentang hala tuju perhubungannya dengan wanita kacukan Melayu-Siam itu.

Menarik perhatian, pasangan ini juga sempat menjadi perhatian umum apabila kecoh dalam media sosial gambar menunjukkan Harris melamar Intan dengan memberikan wanita itu sebentuk cincin. 

Namun, kata Harris semua itu hanyalah gimik dan sedutan daripada video muzik lagu Anugerah.

UNTUK tahun 2021, Harris mahu fokus terhadap bidang nyanyian berbanding pengacaraan yang lebih sinonim dengan dirinya selama ini.

Biarlah rahsia

“Sekiranya saya benar-benar ingin melamar Intan, saya akan melakukan perkara itu dengan betul dan bukannya dalam video muzik. 

“Perkahwinan merupakan perkara serius dan bukan main-main,” terang pelakon Geng Bus Sekolah itu.

Menyerahkan hal jodoh kepada takdir, Harris bagaimanapun tidak meletakkan sasaran usia untuk berumah tangga. 

Bagi Harris, dia kini sedang dalam fasa bahagia bersama pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamat Yahaya, 38, itu.

Tentang perancangan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan, biarlah rahsia.

Mengambil sikap untuk tidak menjaja perancangan yang belum ada hitam putih,  kata Harris biarlah rencana menamatkan zaman bujang disimpan sendiri dahulu sebelum tiba waktu tepat untuk dihebahkan kepada umum.

Katanya, tak perlulah bertelur sebiji riuh sekampung.

Cukup sekadar dirinya dan Intan mengetahui agenda hubungan mereka dan tidak perlu dihebohkan kepada khalayak.

“Jodoh itu rezeki Allah yang kita tidak tahu. Ada yang berkahwin awal dan ada juga lewat. Saya tidak meletakkan sasaran apatah lagi meletakkan perancangan. Sekiranya ada sebarang perancang saya selesa menyimpannya sendiri,” jelasnya.

Mengulas peralihan tahun baharu, Harris cuma berazam mahu menjadi lebih bahagia dan gembira berbanding tahun sebelumnya.

Perkara sebegitu berbunyi mudah tetapi kadangkala ada yang terlupa untuk membahagiakan diri sendiri kerana terlalu fokus terhadap hal-hal bersifat materialistik.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI