fbpx

Polis cedera motosikal dilanggar dari belakang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota polis cedera selepas motosikal ditungganginya dilanggar kereta di Air Itam, George Town malam tadi.

GEORGE TOWN – Seorang anggota polis cedera selepas motosikal ditungganginya dilanggar oleh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Thean Teik, Air Itam di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, anggota berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut itu dilaporkan cedera pada tapak tangan kiri dan dahi selepas terjatuh.

Difahamkan, pemandu kereta jenis Toyota Camry berusia 55 tahun terbabit adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri yang ketika ini merupakan pegawai khas kepada salah seorang ahli Parlimen.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, siasatan mendapati mangsa berusia 27 tahun ketika itu menunggang motosikal sendirian sebelum dilanggar dari belakang sebelah kanan.

“Pemandu kereta mendakwa dia dari arah pusat bandar menghala ke Balik Pulau dan ketika berada di lampu isyarat di hadapan sebuah pasar raya, sebuah motosikal dari arah sama secara tiba-tiba telah masuk di hadapan laluannya.

“Ia menyebabkan pemandu terkejut dan cuba mengelak, namun terlanggar motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang mangsa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, Soffian berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu kereta tidak cedera.

Difahamkan, pihak polis turut menyiasat dakwaan sama ada pemandu tersebut dalam keadaan pengaruh alkohol atau tidak ketika kejadian.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI