SHAH ALAM – Fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melanda negara ketika ini menyebabkan orang ramai menjadikan senaman di rumah khususnya sebagai cara untuk kekal cergas.
Sehubungan itu, senaman regang papan (plank) yang memperkuatkan otot teras dan menyokong tulang belakang dijadikan pertandingan dalam talian oleh Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2 Januari lalu.
Ketua Projek UiTM Plank Challenge, Muhd. Khairul Hafidzin Abdul Wahab berkata, pihaknya berjaya menarik penglibatan 103 peserta di seluruh negara dalam menguji kemampuan mereka melakukan senaman tersebut.
“Senaman rintangan adalah senaman yang mudah dan praktikal untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal.
“Format pertandingan peserta perlu bertahan dalam posisi senaman itu dalam tempoh paling lama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Dalam penganjuran pertandingan julung kali itu menobatkan peserta dari Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, Jazmi Jamaluddin, memenangi kategori lelaki dengan catatan masa 13 minit 1 saat sementara kategori wanita diungguli peserta dari Kota Belud, Sabah, Hellyn Dani menerusi 10 minit 30 saat.
Kedua-dua mereka memperoleh wang tunai RM300 dalam pertandingan yang mendapat penajaan syarikat Let’s Play Performance dan Cisco Malaysia. – K! ONLINE