KUALA LUMPUR – Seorang pengarah sebuah agensi pelancongan mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas tiga pertuduhan menerima deposit wang lebih RM500,000 tanpa lesen yang sah daripada seorang pesara enam tahun lalu.
Tertuduh Abdul Halim Navaghani , 42, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, Hakim Datin Sabariah Othman dan Hakim Hasbullah Adam.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, bapa empat anak itu, didakwa menerima deposit daripada seorang lelaki warga emas berusia 68 berjumlah RM520,000 tanpa lesen yang sah melalui tujuh keping cek.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah premis di Solaris Mont Kiara di sini antara Jun 2015 hingga Januari 2017.
Difahamkan kesemua wang deposit yang diterima itu adalah berhubung pelaburan bagi syarikat pelancongannya.
Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM50 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu dua Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin dan Afiq Nazrin Zaharinan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Bagaimanapun peguam Hazeeq Fadzli Hasrul Sani yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin itu dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama terhadap pihak berkuasa.
“Pada hari ini tertuduh sendiri datang menyerah diri di Bukit Aman. Sebelum ini tertuduh menjalankan perniagaan pelancongan, namun situasi Covid-19 telah menyebabkan perniagan anak guam saya merundum,” katanya.
Selepas mendengar permohonan peguam itu, tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan.
Tarikh 5 Februari depan ditetapkan sebutan semula kes dan pada tarikh akan datang itu ketiga-tiga pertuduhan itu akan disebut di hadapan Hakim Hasbullah. – K! ONLINE