LONDON – Gara-gara bosan duduk di rumah ekoran perintah berkurung koronavirus, seorang wanita memakai gaun mewah yang biasa dipakai dalam majlis tarian ketika keluar untuk membuang sampah, lapor akhbar Mirror UK.
Nicola Matthews, 49, yang menetap di Essex, England berkata, selain memakai gaun, dia turut mengenakan solekan dan berkasut tumit tinggi seolah-olah hendak menghadiri majlis keraian atau tarian.
“Saya mendapat idea untuk melakukannya apabila melihat gambar seorang selebriti memakai gaun panjang ketika membuang sampah, jadi saya membuat keputusan untuk melakukan perkara sama.
“Saya seronok dapat keluar dengan berpakaian cantik walaupun untuk membuang sampah,” katanya.
Kata Nicola, perbuatan yang bermula sebagai gurauan itu bertukar menjadi rutin bagi dirinya pada setiap Rabu sejak beberapa minggu lalu.
“Kebiasaannya, saya akan meluangkan masa sekitar sejam untuk bersiap termasuk bersolek dan mendandan rambut.
“Pada setiap Rabu, saya akan keluar membuang sampah dengan berpakaian seperti ini dan meminta bantuan jiran untuk merakam gambar sebagai kenangan,” ujarnya. – AFP