KUANTAN – Dua unit rumah berkembar di Taman Gambang Damai di sini runtuh dan musnah 100 peratus dalam kejadian pukul 3.23 pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku ekoran musibah itu kerana pemilik rumah telah berpindah awal dan seorang lagi tidak menetap di situ.
Seorang pemilik rumah, Suhaimi Yunus, 51, berkata, dia menyedari berlaku mendapan dan retakan di jalan utama hadapan rumah Pesona Sepanyol itu dan garaj kereta pagi semalam.
Katanya yang menetap di rumah Pesona Sepanyol sejak 2017, puncanya mungkin disebabkan terdapat aliran air bawah tanah di kawasan berkenaan.
“Jadi, petang semalam pukul 3 petang, saya ambil keputusan untuk berpindah. Saya cari rumah sewa sementara di Taman Gambang Damai ini juga dan bawa tiga anak dan isteri berpindah.
“Barang yang saya sempat selamatkan hanya televisyen, peti ais dan mesin basuh. Saya ingat pagi ini hendak ambil semua barang lain tetapi rumah runtuh dan hampir 95 peratus barangan di dalam rumah musnah,” katanya ketika dihubungi di sini.
Suhaimi berkata, jiran sebelah rumahnya yang juga seorang guru di Muadzam Shah, Rompin tidak menetap di situ.
Ujarnya, ekoran kejadian itu, pihak bomba turut mengarahkan pemilik rumah di kiri dan kanan rumahnya supaya berpindah demi keselamatan mereka. – K! ONLINE