PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menafikan dakwaan cuaca musim sejuk seperti kota London bakal melanda Malaysia pada Februari nanti.
MET Malaysia dalam satu kenyataan berkata, dakwaan yang tular di laman sosial itu laporan berita yang pernah diterbitkan pada tahun 2016 dahulu dan telah diulang siar.
“Keadaan cuaca sejuk yang dialami di kebanyakan kawasan di semenanjung terutamanya Pantai Timur dan Pantai Barat ketika ini adalah kerana keadaan cuaca lembap dan mendung yang berterusan dalam tempoh beberapa hari akibat luruan angin sejuk yang melanda negara.
“Selain itu, keadaan rantau negara yang berawan dan tiada sinar matahari secara terus untuk tempoh beberapa hari yang lepas turut menyumbang kepada berlakunya keadaan cuaca yang lebih sejuk daripada biasa,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, pada 3 Januari lalu suhu harian minimum terendah telah direkodkan di Terengganu, Pahang dan Johor ialah 21 ke 22 darjah selsius.
“Bagaimanapun, keadaan ini adalah biasa apabila hujan dan mendung berlaku sepanjang hari.
“Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman web rasmi dan laman media sosial MET Malaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca,” tambahnya.
Kosmo! pada Februari 2016 lalu pernah melaporkan suasana musim sejuk dan nyaman seperti musim bunga di Kota London bakal dinikmati rakyat Malaysia khususnya di Perak dan Kelantan apabila suhu di negeri tersebut turun sehingga 20 darjah selsius sepanjang bulan tersebut.
Menurut MET Malaysia pada ketika itu, fenomena tersebut berlaku disebabkan peredaran suhu sejuk di Kutub Utara telah ‘pecah’ daripada sempadan kebiasaannya dan merebak ke kawasan selatan. – K! ONLINE