MELAKA – Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantungkan sijil kebenaran lesen latihan penerbangan My Heli Club selama enam bulan serta-merta bermula hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat susulan dua insiden melibatkan tiga helikopter dikendalikan My Heli Club terhempas di Taman Melawati pada 8 November tahun lalu dan terbaru di Pulau Indah, Klang, Selangor, 1 Januari lalu.
Katanya, keputusan itu telah dibuat di bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
“Susulan dua insiden melibatkan tiga buah helikopter terhempas, CAMM telah memutuskan untuk menggantungkan sijil kebenaran latihan penerbangan yang telah diberikan kepada My Heli Club berkuasa hari ini.
“Bagaimanapun My Heli Club masih boleh dibenarkan untuk melakukan penerbangan persendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia di Ayer Molek, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur Negeri Datuk Roslan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Ishak; Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Zailani Hashim.
Mengulas lanjut, Wee Ka Siong berkata, keputusan itu juga dibuat CAAM atas faktor keselamatan dengan melihat insiden melibatkan ketiga-tiga helikopter yang dimiliki kelab berkenaan.
“Kita dapati syarikat ini ada tiga buah helikopter latihan, di mana dua buah daripadanya telah terlibat dalam insiden pertama dan sebuah lagi dalam insiden baru-baru ini.
“Berikutan itu, kelab itu juga tidak boleh menjalankan lagi latihan dan keputusan penggantungan sementara ini perlu dibuat oleh CAAM atas faktor keselamatan,” katanya. – K! ONLINE