KEMAMAN – Lebih banyak kawasan rendah di daerah ini diramal akan ditenggelami banjir malam ini berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka mencecah 3.1 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, fenomena air pasang besar itu dijangka bermula pada pukul 2 pagi.
Beliau berkata, ia diburukkan lagi dengan limpahan air sungai dari hulu yang kini sedang mengalir deras menuju ke arah laut sekali gus membawa risiko banjir di penempatan berhampiran.
“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, air (sungai) dari hulu mengambil masa lapan jam sebelum melimpahi beberapa perkampungan yang berhampiran dengan sungai.
“Antara kawasan rendah yang berisiko banjir ialah Kampung Pasir Minal, Kampung Tempurung, Bandar Baru Bukit Mentok dan Kampung Tanjung Moktat di sini,” katanya ketika ditemui ketika melakukan tinjauan di beberapa perkampungan di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Chukai, Hanafiah Mat menasihatkan penduduk di kawasan rendah di daerah ini agar bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, penduduk terlibat dinasihat memindahkan barangan berharga di lokasi tinggi dan selamat sebagai persediaan menghadapi banjir.
“Kalau perlu berpindah (ke pusat pemindahan sementara), lakukannya awal dan jangan menunggu sehingga lewat malam kerana risikonya lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, buat masa ini, banjir di Terengganu menunjukkan trend penurunan dengan hanya Kemaman terlibat sementara Dungun pula telah pulih sepenuhnya.
Setakat pukul 7 malam, hanya empat PPS masih dibuka di daerah ini dengan menempatkan 82 mangsa daripada 19 keluarga. – K! ONLINE