fbpx

Kerajaan disaran ambil tindakan tegas penganjur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasrudin Hassan

PUTRAJAYA – Kerajaan melalui pihak berkuasa agama disaran mengambil tindakan tegas terhadap penganjur dan penganjuran aktiviti pertandingan Miss Plus World Malaysia kerana nyata melanggar peraturan dan undang-undang apabila pihak tersebut menyanggahi fatwa serta janji.

Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, beliau menerima maklum balas daripada pasukan pemantau berhubung pertandingan itu yang berlangsung pada 2 Januari di sebuah hotel di sini melanggar beberapa perkara.

“Pertandingan seperti ratu cantik ini melanggar janji dibuat oleh pihak penganjur kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 31 Disember lalu kononnya tidak melibatkan peserta dalam kalangan muslimah sebaliknya peserta beragama Islam hanya menjadi pemerhati di meja VIP.

“Malah, pertandingan sebegini nyata bercanggah dengan fatwa Wilayah Persekutuan diwartakan pada 8 Februari 1996 iaitu, haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai atau menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, bukan sahaja tidak jujur, penganjur pertandingan juga dilihat cuba mencabar pihak berkuasa agama dan kerajaan apabila mereka melanggar janji dan melanggar fatwa Wilayah Persekutuan yang telah diwartakan.

“Yadim terlebih dahulu mengambil langkah awal dengan memberi peringatan dan bantahan kepada pihak penganjur agar pertandingan itu tidak dianjurkan dan kemudian terdapat pihak lain turut mengambil langkah serupa.

“Ia membawa pihak penganjur bertemu dengan Jakim dan disitulah janji telah dilafazkan untuk tidak melibatkan peserta yang beragama Islam,” katanya.

Ujarnya lagi, sewaktu hari yang dijadualkan berlangsung pertandingan itu, pihaknya sekali lagi mengulangi peringatan dan bantahan sebagai usaha menasihati dan menegur supaya penganjur sekurang-kurangnya mematuhi janji mereka.

Katanya, peringatan dan nasihat Yadim itu ditempelak begitu sahaja manakala janji mereka terhadap pihak berkuasa agama seperti Jakim juga dirempuh tanpa rasa bersalah.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, Yadim bukan agensi penguatkuasa yang mempunyai autoriti membuat tangkapan dan pendakwaan, namun sebagai sebuah yayasan dakwah, pihaknya bertanggungjawab menegur, menasihati dan mengajak masyarakat supaya tidak menganjur dan melibatkan diri dalam sebarang bentuk aktiviti yang mengundang murka Allah.

“Yadim tegas untuk menyeru, membimbing dan memandu masyarakat agar kembali kepada perlaksanaan cara hidup Islam dalam kalangan umat Islam di negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan ini.

“Sementara itu, Yadim juga melaksanakan tanggungjawab mencegah kemungkaran dan ia sebahagian daripada urusan dakwah yang dikendalikannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, pertandingan ratu cantik sama ada untuk wanita langsing atau bersaiz besar, berkerjaya atau suri rumah, berbakat atau wanita biasa, tetap memberi makna mengeksploitasi atau memperdagangkan kecantikan, maruah dan nilai diri wanita.

“Selayaknya kaum wanita, meskipun dalam apa bentuk kategori tidak diperagakan kepada awam seperti menjual harga diri untuk nilaian harga oleh mata keranjang kaum lelaki yang tidak berhak ke atasnya,” katanya.

Beliau menambah, Yadim menyeru wanita muslimah supaya bangkit untuk menamatkan gerakan mengeksploitasi wanita. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI