PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Kebenaran untuk Organisasi Latihan yang Diluluskan ke atas My Heli Club untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo berkata, penggantungan sementara waktu itu dibuat susulan dua kemalangan melibatkan tiga helikopter kendalian kelab terbabit di Taman Melawati dan Pulau Indah, Klang, Selangor masing-masing pada 8 November tahun lalu dan 1 Januari lepas.
“Penggantungan Sijil Kebenaran untuk Organisasi Latihan yang Diluluskan dibuat di bawah Peraturan 67, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Chester berkata, My Heli Club bagaimanapun masih dibenarkan untuk melakukan penerbangan persendirian tetapi dilarang membuat penerbangan latihan buat masa ini.
“CAAM kini sedang menjalankan siasatan dalam aspek pengawalseliaan mengenai kemalangan yang melibatkan helikopter-helikopter yang dikendalikan oleh My Heli Club dan notis penggantungan telah dikeluarkan dengan serta-merta.
“Penggantungan ini selaras dengan peraturan penerbangan awam Malaysia demi memastikan keselamatan semua
anggota kelab dan pihak awam,” katanya. – K! ONLINE