BARCELONA – Penjaga gol utama skuad Barcelona, Marc-Andre ter Stergen mengakui barisan pemain masih tidak boleh mendabik dada selepas merekodkan kemenangan 1-0 ke atas pasukan tercorot, Huesca dalam aksi La Liga awal pagi semalam.
Kata Ter Stergen, rakan-rakan sepasukan telah menunjukkan peningkatan berbanding ketika mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Eibar minggu lalu tetapi masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi memburu slot carta teratas liga.
“Saya rasa sepanjang 35 minit pertama kami beraksi dengan begitu cemerlang dengan menguasai sebahagian besar perlawanan. Huesca tidak mempunyai sebarang ruang untuk melakukan serangan balas pantas.
“Namun, ini tidak bermakna kami boleh mendabik dada kerana pada penghujung saingan, pasukan dilihat agak bergelut dan lebih berminat untuk bertahan.
“Apa yang penting, kami meraih tiga mata dan keputusan ini melonjakkan lagi semangat pasukan untuk mencabar pasukan yang berada di carta teratas liga,” kata pemain antarabangsa Jerman itu.
Sementara itu, perancang Barcelona, Frankie De Jong mengakui sangat teruja apabila berjaya menjaringkan gol tunggal buat pasukan selain mengakui impak yang diberikan oleh kapten, Lionel Messi dalam membuka ruang cukup memudahkannya.
“Saya gembira apabila dapat menjaringkan gol penting buat pasukan. Namun, pujian harus diberikan kepada Messi kerana hantaran yang dilakukan olehnya tepat pada masanya sekali gus memudahkan saya untuk melakukan penyudah,” katanya. –AGENSI