PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC telah berjaya mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Lebanon, Rabih Ataya untuk menguatkan jentera serangan pasukan bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sebagai rekod, Ataya yang berusia 32 tahun dianggap sebagai salah seorang pemain import terbaik Liga M ketika mewakili pasukan UiTM FC pada saingan musim lalu.
Kata Ataya, keputusan untuk berhijrah bersama skuad Helang Merah pada tahun ini adalah keputusan tepat memandangkan status Kedah sebagai salah satu pasukan terbaik di Malaysia.
“Saya sangat gembira akhirnya dapat menandatangani kontrak secara rasmi bersama pasukan KDA FC dan saya anggap ini adalah peluang terbaik untuk mengukuhkan nama dalam kancah Liga M.
“Semua orang tahu rakyat Kedah adalah antara penyokong bola sepak paling fanatik dan terbaik di Malaysia. Jika diberi peluang, saya mahu kekal lama bersama pasukan ini.
“Apa yang penting, misi saya sekarang adalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan dan membantu mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebagai rekod, selain kancah Liga M, skuad KDA FC yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak turut bersaing pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali optimis Ataya akan menjadi ‘jeneral’ di atas padang sekali gus merencanakan jentera serangan pasukan yang diketuai oleh Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.
“Kita berharap Ataya mampu menjadi antara ‘jeneral’ yang diperlukan Kedah untuk menguatkan ruang tengah serta serangan. Malah, saya mahu dia cepat menyesuaikan diri bersama rakan-rakan sepasukan pada sesi latihan pramusim ketika ini,” katanya.