fbpx

Antara sekolah atau pembelajaran secara online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Bersekolah atau tidak anak-anak pada 20 Januari ini?

Itu persoalan membelenggu ibu bapa ketika ini ketika sesi persekolahan 2021 akan dibuka dalam tempoh 15 hari lagi.

Ketika ini seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Januari.

Malah, bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 14 Januari ini memberi tanda tanya sama ada pelajar di tiga negeri itu akan ke sekolah untuk pembelajaran secara bersemuka atau maya.

Mengikut takwin yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 serta Tingkatan 1, 4 dan 6 termasuk pelajar Kolej Vokasional akan memulakan sesi persekolahan pada 20 Januari ini.

Bagi pelajar Tingkatan 2 dan 3, mereka akan memulakan sesi persekolahan pada tarikh yang sama tetapi secara home-based learning mengikut kesesuaian guru dan murid sebelum kembali sekolah pada 8 Mac.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan membuka sesi persekolahan dibuat kerana ramai ibu bapa yang risau anak-anak mereka tidak dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan yang sempurna.

Benar, perkara ini sedikit melegakan ibu bapa yang runsing dengan pembelajaran anak-anak mereka.

Tahun 2020, hanya beberapa bulan pelajar bersemuka dengan guru, selebihnya secara maya.

Pembelajaran secara maya bukan mudah, bagi pelajar yang dalam kategori cemerlang mungkin tiada masalah, namun berbeza pada pelajar yang lemah dan memerlukan bimbingan cikgu.

Berapa ramai pelajar yang gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberikan gara-gara tiada gajet dan liputan internet yang terhad.

Lebih kasihan, anak-anak yang akan menduduki peperiksaan umum seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Bagaimanapun, keputusan membuka sesi persekolahan turut merunsingkan ibu bapa apabila ada antaranya sukar untuk ‘melepaskan’ anak-anak mereka ekoran penularan Covid-19 yang semakin meningkat.

Sejak 1 Januari, kes baharu yang dicatat adalah melebihi 1,500 kes dengan Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor mencatat angka tertinggi.

Keterujaan bercuti bersama keluarga, menghadiri kenduri perkahwinan pada musim cuti sekolah ini diharap tidak menjadi penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 dalam negara.

Mereka yang mengadakan kenduri perlu terus menguatkuasakan pelaksanaan SOP kerana kita masih belum menang.

Semoga istiqomah kita membolehkan lebih 5 juta pelajar di seluruh negara dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa di sekolah pada 20 Januari dan 8 Mac ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI