YAN – Sebilangan pengunjung Air Terjun Seri Perigi di sini sanggup mempertaruhkan nyawa dengan melalui kawasan berbatu yang licin di puncak air terjun itu hanya untuk mendapatkan gambar menarik di satu lokasi berbahaya di situ.
Baru-baru ini tular di Facebook gambar seorang wanita mandi di kawasan tersebut sambil menikmati mi segera selain gambar sekumpulan remaja lelaki berdiri di penghujung puncak air terjun berkenaan.
Pengerusi Persatuan Rekreasi Luar Daerah Yan, Mohamad Firdaus Mohmad berkata, kawasan peranginan itu popular dengan keindahan air terjun yang mana orang ramai boleh mendaki ke kawasan puncak pada ketinggian kira-kira 100 meter.
“Bagaimanapun, baru-baru ini tular beberapa gambar di Facebook aksi pendaki di lokasi berbahaya di penghujung puncak air terjun ini.
“Tindakan mereka ini sangat berbahaya kerana terdedah kepada risiko jatuh dari puncak air terjun ini ke bawah yang merupakan kawasan berbatu,” katanya ketika ditemui di pusat peranginan tersebut di sini semalam.
Dia yang juga malim gunung berkata, selepas gambar tersebut tular, orang ramai dari merata tempat memenuhi kawasan peranginan berkenaan untuk naik ke puncak air terjun.
“Sejak kerajaan membenarkan rentas negeri, kawasan puncak dipenuhi sehingga 100 pendaki dalam satu masa pada hujung minggu yang mana kapasiti selamat kira-kira 20 orang sahaja,” ujarnya.
Ujarnya, aksi berbahaya pengunjung yang sanggup menggadaikan nyawa untuk bergambar di kawasan berbahaya dan memviralkannya perlu dihentikan segera.
“Pemandangan dari lokasi berbahaya itu memang cantik kerana kita boleh lihat kawasan sawah padi menghijau, tetapi ia sangat berbahaya kerana pengunjung berada di puncak air terjun yang berbatu dan licin.
“Justeru, saya menasihatkan semua pendaki agar tidak lagi melakukan aksi berbahaya tersebut hanya untuk mendapatkan gambar yang menarik, lebih-lebih lagi pada musim hujan kerana licin dan risiko berlaku kepala air,” jelasnya.