Kota Kinabalu – Tiga nelayan tempatan dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu ditemui selamat petang semalam.
Ketiga-tiga kru nelayan itu ditemui pukul 5 petang oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kira-kira 160 batu nautika barat laut di sekitar perairan Permatang Ubi.
Bot nelayan bersama 12 kru serta tekong itu difahamkan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan berkenaan sebelum tiga kru bersama tiga bot pancing sokongan hilang dipercayai terputus hubungan dengan bot induk yang pada ketika itu berjauhan dan mengalami cuaca yang buruk.
Pegawai Memerintah KD Todak, Leftenan Komander Mohd Rozaimi Mahmod berkata, KD Todak yang sedang melaksanakan operasi di kawasan berkenaan kemudian diatur gerakkan bagi menjalankan operasi pencarian mangsa hilang.
“Selepas hampir tujuh jam dalam operasi mencari dan menyelamat, ketiga-tiga kru nelayan tempatan dilaporkan hilang itu akhirnya berjaya ditemui.
“Semua kru itu ditemui sedang berapung dan berada dalam keadaan lemah ekoran hampir dua hari terputus bekalan makanan.
“Bantuan awal dengan menyediakan makanan dan minuman panas diberikan sebelum menyerahkan kru terbabit kepada bot induk untuk belayar pulang ke Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.
Menurutnya, kapal-kapal TLDM khususnya dibawah naungan Markas Pemerintahan Armada Timur akan terus melaksanakan operasi dan rondaan untuk memastikan keselamatan perairan Sabah dan Sarawak terpelihara seterusnya memberi khidmat bakti kepada rakyat Malaysia. K! ONLINE.