AKTRES Taraji P. Henson berkongsi tentang isu kesihatan mentalnya sepanjang tempoh krisis pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Menerusi program terbaharu dalam Facebook miliknya, Peace of Mind With Taraji, pelakon itu mendedahkan bahawa dia pernah cuba untuk membunuh diri kerana berasa tertekan.
“Dalam masa beberapa hari, saya tidak mahu bangun dari katil dan tidak kisah apa yang sedang berlaku.
“Saya merasakan seperti tidak menjadi diri saya yang sebenar. Kemudian saya mula terfikir untuk menamatkan riwayat hidup dengan membunuh diri,” katanya.
Pelakon filem What Men Want itu mengendalikan program tersebut bersama pakar psikologi, Dr. LaShonda Green serta pengacara bersama, Tracie Jade.
Dalam program sama, Taraji turut berkongsi bagaimana dia mula berfikir semula mengenai kesan daripada tindakannya.
“Perkara itu berlaku selama dua hari berturut-turut. Kalau ikutkan, saya boleh teruskan niat untuk membunuh diri. Tetapi saya fikir kesannya ke atas anak saya nanti,” katanya.