BALIK PULAU – Pesakit Covid-19 warga tempatan yang menjalani kuarantin di Kompleks Sukan Balik Pulau di sini dikatakan semakin dibelenggu tekanan selepas terpaksa tinggal dalam keadaan sesak bersama ratusan pesakit warga asing yang ditempatkan di situ.
Keadaan menjadi bertambah sukar apabila mereka dikatakan terpaksa berebut mengambil makanan, mandi dan solat bersama warganegara asing terbabit di tempat sama.
Difahamkan, hanya dua buah tandas yang berfungsi manakala lebih kurang 10 bilik air digunakan lebih 300 pesakit yang ditempatkan di situ.
Susunan katil pesakit juga dikatakan terlalu rapat dan tiada langsung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pesakit.
Seorang pesakit yang enggan dikenali berkata, dia tidak sanggup berdepan dengan situasi tersebut dan keadaan yang dihadapi hari ini boleh menjejaskan lagi tahap kesihatannya.
“Saya tak (tidak) mampu nak (hendak) hadapi keadaan di sini lagi (Kompleks Sukan Balik Pulau). Semua warga asing sesak dada.
“SOP pun tak dak dah (tiada) di sini. Mandi, makan solat semua dengan warga asing. Sekarang yang masuk sudah ramai dekat 60 orang, warga asing lebih 300 orang. Saya Tak (tidak) perlu tempat macam ini untuk sihat,” keluhnya menerusi satu hantaran sistem pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, pihaknya berharap agar semua warganegara yang dikenal pasti pembawa virus Covid-19 diasingkan daripada pesakit warga asing.
“Antara perkara yang timbul adalah rasa tidak puas hati kerana latar belakang cara hidup rakyat Malaysia
amat berbeza.
“Dalam kes ini pastinya layanan ke atas warganegara harus lebih baik berbanding bukan warganegara,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE