PETALING JAYA – Gara-gara sudah lama tidak tinggal sebumbung dengan ibu kandung, pelakon yang sedang meningkat popular, Riena Diana mengakui sukar untuk menghayati watak sebagai seorang anak.
Menurut pelakon berusia 24 tahun itu, kesukaran itu wujud hanya kerana dia sudah lama tidak merasai kasih sayang seorang ibu sehingga sukar untuk perasaan itu diluahkan di pentas lakonan.
Riena atau nama sebenarnya, Nur Qamarina Diana Zureal, 24, berkata demikian ketika menceritakan wataknya dalam drama terbaharu, Hadiah dari Tuhan sebagai Iqa yang disifatkan sangat mencabar kerana perlu mempunyai sifat sayang terhadap seorang ibu.
“Dalam kehidupan realiti, saya memang tidak sebumbung dengan ibu dan sudah tinggal bersama nenek, Fatimah Matsom, 62, sejak berumur 14 tahun.
“Jadi, untuk wujudkan rasa sayang keserasian dengan Amy Mastura yang menjadi ibu saya dalam drama tersebut tersebut memang sedikit mencabar. Apa-apa syukur sebab Amy banyak membantu,” katanya dalam temu bual bersama para pelakon drama tersebut hari ini.
Tambah pelakon yang terkenal dengan watak Laila dalam drama Kampung People itu, mengakui sedikit sukar untuk menjiwai watak yang lebih serius.
“Sebelum ini saya selalu lakonkan watak perempuan gedik atau bimbo, jadi memang payah sikit untuk ubah mood lakonan.
“Namun, atas bantuan ramai termasuk pengarah, saya berjaya juga menjayakan watak Iqa ini,” ujarnya.
Katanya, dia juga tidak mahu namanya hanya dikenali menerusi satu watak sahaja.
“Saya akui memang watak Laila itu sudah melekat pada saya sehingga sukar nak lari daripadanya.
“Tetapi kalau boleh saya mahu orang ingat saya dengan pelbagai watak dan buktikan kemampuan diri,” ujarnya.