KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menafikan pejabatnya di Bangsar di sini diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi sebagaimana dilaporkan media tempatan.
Timbalan Ketua Komunikasinya, Rafizah Amran berkata, SPRM sebaliknya hadir ke pejabat mereka untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan bahawa Pengerusi Prasarana, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menggunakan autoritinya untuk melakukan perubahan signifikan di syarikat itu.
“Ia bukanlah serbuan, hanya siasatan terhadap semua berita negatif itu. Kami akan bantu mereka dalam siasatan.
“Tiada siapa yang ditahan, tiada komputer riba atau telefon bimbit disita, namun ada dokumen diambil,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi media hari ini mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan terhadap isu berkenaan.
Pada masa sama, Rafizah berkata, tuduhan terhadap Tajuddin itu dibuat oleh individu terkenal dan berharap SPRM membantu membersihkan nama Prasarana. – K! ONLINE