PARIS – Mauricio Pochettino akhirnya sah menjadi ketua jurulatih baharu Paris Saint-Germain selepas diumumkan secara rasmi oleh pihak pengurusan kelab tersebut.
Jurulatih dari Argentina berusia 48 tahun itu tidak membimbing mana-mana pasukan selepas dipecat oleh Tottenham Hotspur pada November 2019 selepas menghabiskan masa selama lima tahun setengah bersama kelab yang berpangkalan di London itu.
Bagaimanapun, PSG yang memecat Thomas Tuchel berjaya mencapai kata sepakat bersama Pochettino yang menandatangani kontrak sehingga 30 Jun 2022 dengan pilihan sambungan kontrak selama setahun lagi.
“Saya sangat gembira dan berasa bertuah kerana dilantik sebagai jurulatih baharu PSG. Saya mahu berterima kasih kepada pihak pengurusan kelab yang memberikan saya kepercayaan.
“Seperti yang anda tahu, kelab ini sangat istimewa buat saya. Memori ketika saya berada di sini sangat indah terutama suasana yang unik di Parc des Princes.
“Saya kembali ke kelab ini dengan cita-cita besar dan cuba untuk melakukan apa sahaja untuk memastikan kelab ini mampu mencapai tahap terbaik dalam semua kejohanan.
“Pasukan ini memiliki skuad yang sangat berpotensi dan fantastik. Saya sangat teruja untuk bekerja bersama para pemain yang berbakat besar dalam dunia.
“Kami akan memberikan sepenuh fokus untuk menjadikan PSG pasukan yang penuh dengan semangat serta terus dengan identiti sebagai pasukan yang menggunakan taktikal menyerang kerana itu yang akan memberikan kepuasan kepada para peminat,” katanya. – AGENSI