PETALING JAYA – Petugas Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) mengagihkan minuman kepada pengguna yang terkandas susulan jalan raya dinaiki air sedalam satu meter di kilometer (KM) 84, Lanchang dan Plaza Tol Karak, Karak, Pahang hari ini.
Menerusi satu ciapan di laman Twitter @LPTTrafik, petugas lebuh raya yang memakai vest berwarna kuning mula mengagihkan bekalan minuman kepada pengguna jalan raya selepas mereka terkandas apabila laluan tersebut ditutup semula mulai pukul 11.30 malam tadi.
Terdahulu, laluan LPT1 Kuantan-Kuala Lumpur ditutup lagi selepas dilimpahi air susulan hujan lebat berterusan.
Difahamkan, laluan di Kilometer 84.6- Kilometer 84.7 di Lanchang itu ditutup sepenuhnya mulai pukul 11.30 malam tadi selepas dinaiki air sedalam satu meter.
Pengguna disarankan menggunakan laluan alternatif keluar persimpangan Lanchang-Felda Lakum – Bkt Damar – Mempaga – Chinta Manis -Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.
Untuk sebarang perkembangan terbaharu, pengguna boleh merujuk kepada laman Twitter @LPTTrafik dan Facebook @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi LPT-Line di 09 5479111 atau 1-700-818-700,”ujarnya. – K! ONLINE.