PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan maut apabila motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.15 petang sewaktu mangsa sedang menghampiri lampu isyarat simpang tiga di lokasi kejadian.
“Ketika melalui lokasi kejadian, mangsa yang berusia 31 tahun telah terlanggar lubang di bahu jalan mengakibatkan motosikal ditunggangnya hilang kawalan.
“Mangsa yang gagal mengawal motosikal kemudiannya terbabas di lorong kiri jalan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian setelah dihubungi oleh pengguna jalan raya yang menyaksikan kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Nik Ezanee, bedah siasat ke atas mayat mayat mangsa akan dilakukan setelah mendapat keputusan ujian Covid-19 di Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Siasatan berhubung kejadian diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.
Terdahulu, satu video berdurasi tular di laman sosial memaparkan tindakan orang ramai membantu menutup jenazah mangsa yang maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di Jalan PJU 7/2, Mutiara Damansara hari ini.-K! ONLINE