fbpx

Kisah ‘kak long kawasan’ KLGU2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZZATY ABDULLAH

SELEPAS dua tahun, drama aksi KL Gangster: Underworld musim kedua (KLGU2) menemui penonton sejak 10 Disember lalu menerusi platform penstriman video WeTV.

Drama bersiri aksi berkenaan menampilkan barisan asal musim pertama iaitu Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Nam Ron, Amerul Affendi dan Dynas Mokhtar.

Aktres Ezzaty Abdullah yang merupakan seorang daripada pemeran utama drama berkenaan mempunyai cerita tersendiri dikongsikan mengenai drama bersiri lapan episod tersebut.

“Kalau dalam musim terdahulu, watak Elina merupakan ‘mak ayam’ (penjaga rumah pelacuran) tetapi kali ini dia lebih mengutamakan keluarga disebabkan sudah ada anak bersama Shah (Beto).

“Cuma kalau dibandingkan dengan yang terdahulu, dalam musim kedua ini Elina sendiri masuk campur dengan menyertai pertempuran. Pendek kata musim kedua ini menampilkan karakter Elina lebih berani,” katanya.

Tambah pelakon berusia 30 tahun itu, musim kedua menjanjikan aksi pertempuran penuh mendebarkan selain perubahan karakter Elina.

“Untuk musim kedua ini, watak Elina berubah daripada seorang yang lembut bertukar agar kasar. Dia juga berubah untuk berdikari demi membantu suaminya.

“Senang cerita, drama ini lebih suspens dan saya ada pegang pistol. Daripada ‘mak ayam’, sekarang saya jadi ‘kak long kawasan’,” ujar Ezzaty berseloroh.

MELAKUKAN sendiri babak aksi, Ezzaty menyifatkan peluang tersebut ruang untuk berlawan dengan ketakutan contohnya terhadap binatang seperti
pacat, lipas dan lintah.

Babak aksi

Menceritakan lanjut sepanjang pengalaman menjalani penggambaran KLGU2, pelakon drama Cinta Sekali Lagi itu mendedahkan pengalaman kali ini juga jauh lebih mendebarkan.

Kongsi Ezzaty, dia terlibat dalam babak kemalangan kereta yang terhumban ke dalam sebuah tasik sewaktu hujan lebat pada awal pagi.

“Pengalaman itu agak dahsyat bagi saya. Sebab saya lakukan sendiri babak tersebut. Tambahan, kita tidak tahu apa yang ada dalam tasik itu ditambah dengan keadaan hujan lebat.

“Memang kesejukan menggigil dibuatnya sebab babak berkenaan dilakukan pada pukul 4 pagi. Babak tersebut menuntut saya berenang dari dalam tasik dan naik ke darat,” ujarnya teruja.

Lebih mencemaskan, keadaan hujan lebat menyebabkan terdapat banyak lintah sehingga ada yang melekat pada kereta.

Bagaimanapun, demi melunaskan tanggungjawab terhadap lakonan selain mahu mencabar diri membuang ketakutan, wanita kelahiran Pahang itu melempar jauh perasaan negatif.

“Sejujurnya memang saya takut tetapi mahu tidak mahu, perlu diteruskan juga. Lakonan kena jalan macam biasa.

“Sebab pengalaman tersebut memberikan saya kepuasan kerana berpeluang melakukan babak aksi sendiri,” katanya yang menjalani penggambaran babak berkenaan di Tanjung Karang, Kuala Selangor.

DEMI memastikan watak Elina tidak lari daripada musim pertama, Ezzaty banyak membuat rujukan dengan menonton semula naskhah berkenaan sebelum turun ke set penggambaran KLGU2. – Ihsan WETV

Rezeki lancar

Sekitar Mei lalu, Ezzaty pernah mencuri tumpuan peminat apabila berniaga mi udang kerana mahu mencari pendapatan sampingan untuk membayar gaji pekerjanya berikutan terjejas akibat Covid-19.

Bermula sekadar kecil-kecilan, tidak sangka bisnes tersebut mendapat sambutan menggalakkan sehingga membuatkan dia tidak menang tangan menguruskan tempahan.

Situasi berkenaan antara momen yang barangkali tidak boleh dilupakan Ezzaty ketika berdepan musibah Covid-19 sehingga merencatkan kehidupan seharian banyak pihak.

Sebagai pelakon, dia antara golongan yang terkesan kerana penggambaran tidak dapat dijalankan seperti biasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehinggalah PKP memasuki fasa Bersyarat (PKPB), perlahan-lahan keadaan beransur normal apabila kerajaan membenarkan aktiviti seharian termasuklah kerja-kerja seni boleh dijalankan, namun bersyarat.

“Alhamdulillah rezeki saya tidak putus sejak bulan Julai lalu. Setakat ini, jadual saya memang padat.

“Baru-baru ini saya ada ke Perak menjalani penggambaran sebuah drama terbitan RTM untuk siaran Hari Guru kelak.

“Menariknya kami pergi ke kawasan perkampungan Orang Asli dan bertemu mereka selain menghadiahkan barang-barang permainan kepada kanak-kanak di situ,” ujarnya yang menyifatkan pengalaman tersebut sangat berharga.

SELEPAS sekian lama, Ezzaty kembali membawakan watak antagonis menerusi drama Rahimah Tanpa Rahim yang akan bersiaran tidak lama lagi.

Keluarga

Menyelak perbualan ke halaman peribadi, Ezzaty terbuka berbicara tentang perancangan keluarga kecilnya dengan mengakui sudah bersedia untuk menerima kehadiran cahaya mata baharu.

Apatah lagi anak sulungnya, Harum Dahlia kini sudah berusia tiga tahun. Pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu sedar anak kesayangannya memerlukan teman bermain.

“Sudah tentu saya mahu tambah ahli keluarga. Cuma mungkin disebabkan terlampau sibuk, jadi perancangan itu agak terganggu.

“Saya dan suami sentiasa bersedia, sama juga dengan Harum. Dia sangat sukakan bayi dan kami memang mahu beri dia adik. Kasihan juga tengok dia bermain sendirian,” kata Ezzaty yang akan muncul dengan sebuah drama baharu berjudul Rahimah Tanpa Rahim.

TIADA lagi aksi romantis, KLGU2 memaparkan watak Elina menjadi wanita lebih berdikari untuk membantu suaminya, Shah lakonan Beto Kusyairy mempertahankan keluarga dan geng Kuala Lumpur .
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI