fbpx

Kes aktif menghampiri kapasiti maksimum KKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ketika ini mencecah 22,089 kes sekali gus menghampiri kapasiti maksimum Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengendalikan 23,000 kes positif ditempatkan di hospital dan pusat kuarantin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan angka tersebut, pihaknya turut melihat kepada persediaan iaitu kuarantin bagi pesakit tahap satu dan dua di rumah masing-masing.

“Justeru, kita sedang memperkemaskan kriteria yang boleh dipertimbangkan berhubung kes positif tahap satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan supaya dikuarantin atau diasingkan di rumah.

“Kita lihat kes meningkat terutama tahap satu dan dua ini hampir mencecah 89 hingga 90 peratus dan mereka ini ditempatkan di pusat kuarantin.  Sekarang ini kita lihat masih boleh menampung tetapi kita juga melihat persiapan kita berikutan pertambahan kes positif,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ditanya sama ada KKM akan menilai tempoh kuarantin susulan muncul mutasi baharu, Noor Hisham berkata, pihaknya masih mengguna pakai tempoh 10 hari yang dipendekkan daripada 14 hari sebelum ini.

“Banyak negara lain mengguna pakai kaedah ini mengurangkan tempoh dari 14 kepada 10 hari. Ada negara mengguna pakai tujuh hari kuarantin tetapi risiko lebih tinggi. Kita lihat kebanyakan kes positif dikesan pada hari ketiga hingga hari kelima,” katanya.

Sementara itu, ujarnya, bermula 7 Disember sehingga kini, sebanyak 14 kluster muncul hasil daripada aktiviti rentas negeri dan aktiviti sosial.

Lima kluster rentas negeri yang dikesan ialah Intan, Semambu, Tembok Mempaga di Pahang, Seragam Chepa di Kelantan dan Ehsan Ibol di Perak.

Sembilan kluster hasil aktiviti sosial ialah Gerbang Pongsu di Perak, Lintas Seraya, Maringkan, Paginitan dan Kupi-Kupi di Sabah, Sungai Redan di Johor, Cassia Diamond di Pulau Pinang dan Selangor, Sungai Burong di Selangor dan Negeri Sembilan serta Bandar Impian di Johor, Kelantan dan Perak.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI