NOVEMBER tahun lalu, dunia hiburan digoncang dengan berita mengejut membabitkan penyanyi dan pengacara Alif Satar yang disahkan positif virus Covid-19.
Hasilnya, semua artis dan kru yang terlibat pada pentas Separuh Akhir Muzik-muzik ke-35 (SFMM35) menjalani ujian calitan Covid-19 selain kuarantin kendiri selama dua minggu.
Menjalankan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab, penyanyi muda Ismail Izzani tidak terkecuali daripada menjalani kuarantin meskipun keputusan ujian calitan menunjukkan dirinya negatif.
Dia sepatutnya membuat persembahan pada episod ketiga SFMM35 22 November lalu untuk lagu Hello bersama rakan penyanyi, Andi Bernadee.
Bagaimanapun, disebabkan berlakunya kes membabitkan Alif dan dua pemuzik kumpulan The Locos, Rajwan dan Efry Arwis yang mengiringi persembahan penyanyi itu juga disahkan positif, episod ketiga SFMM35 ditangguhkan selama dua minggu.
Hal ini kerana semua peserta pertandingan tersebut termasuk pengacara Sherry Alhadad dan Haziq Hussni serta semua pekerja belakang tabir menjalani kuarantin kendiri.
Biarpun negatif, pengalaman kuarantin tetap menjadi satu pengalaman yang sangat mencabar buat Ismail.
Motivasi
Pada masa sama, dia mengakui mempunyai banyak masa untuk merenung dan berfikir tentang perkara-perkara penting buat dirinya iaitu keluarga, rakan dan muzik.
Perubahan gaya hidup yang tersekat bukannya mudah kerana dia tinggal bersendirian sekali gus membuatkan pelantun lagu Ada Cara itu hilang semangat dan motivasi.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 21 tahun itu mencari jalan memotivasikan diri dengan mencipta muzik. Kebanyakan sumber inspirasi datang daripada individu yang berada di sekelilingnya.
“Ketika itu, perkara yang telah banyak membantu kesihatan mental saya untuk terus menghabiskan pengasingan ialah media sosial dan aplikasi mesej seperti Snapchat yang sangat membantu saya kekal berhubung dengan rakan serta keluarga.
“Kita mungkin tidak menyedari bahawa bersama secara fizikal dengan rakan dan keluarga adalah perkara penting dalam hidup kita.
“Oleh kerana tidak dapat melakukannya, maka saya mencari cara lain untuk terus berhubung. Selain daripada mesej, saya mula bergantung kepada panggilan video untuk menatap wajah mereka,” katanya.
Peluang kekal berhubung bersama insan tersayang membantu Ismail berasa lebih dekat dengan mereka. Hal ini kerana dia dapat meluahkan perasaan dan berinteraksi dengan mereka lebih daripada kebiasaan.
“Saya bersyukur kerana ada tempat tinggal yang selesa, berehat dan merenung masa depan tentang kehidupan. Malah, tempoh terluang pada waktu itu saya gunakan sebaik mungkin untuk mencipta muzik baharu.
“Keadaan pada waktu itu menjentik kesedaran dalam hati saya bahawa tidak semua orang beruntung seperti ini. Terutama pemuzik atau artis-artis yang baru bermula membina kerjaya. Kekangan untuk keluar dan membuat persembahan membuatkan mereka sangat sukar mencipta nama.
“Sebenarnya ada banyak cara untuk membantu mereka. Sama ada melalui penstriman lagu-lagu mereka dalam platform muzik digital, meminta lagu dimainkan dalam radio atau menunjukkan sokongan serta penghargaan menerusi media sosial,” ujarnya sambil mengharapkan semua orang kekal kuat melawan waktu sukar seperti ini.
Menyelesaikan kuarantin bukan satu perjalanan mudah tetapi itu adalah momen berharga yang perlu untuk dijalani bagi menikmati makna sebenar kehidupan.
Pengalaman tempoh hari juga meninggalkan kesan mendalam kepada penyanyi lagu Sabar itu untuk melihat kehidupan dari sudut pandang berbeza.
“Saya selalu percaya bahawa sangat penting untuk kita kekal berhubung antara satu sama lain dan menyokong diri masing-masing.
“Selain daripada menghantar teks, ambil masa untuk membuat panggilan video kepada seseorang, tunjukkan senyuman dan kongsikan gambar tentang kehidupan seharian kita. Sungguh mengagumkan bagaimana kita masih boleh bersama-sama meskipun ketika menjarakkan diri secara sosial,” katanya.