PETALING JAYA – Tindakan dua anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) berjalan kaki sejauh 1.8 kilometer untuk mendapatkan bantuan berjaya menyelamatkan kira-kira 32 individu yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Fraser semalam.
Menurut satu kenyataan di Facebook APM, mangsa Kapten (PA) Hishamuddin Salleh dan Leftenan Muda Madihah Hishamudin berjalan kaki menuju ke Balai Polis Bukit Fraser.
“Mereka berjalan sejauh 1.8 kilometer daripada tempat kejadian menuju ke balai tersebut meninggalkan 13 buah kenderaan lain.
“Namun, di pertengahan jalan mereka diselamatkan pihak berkuasa serta kenderaan penduduk,” jelas kenyataan tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut kenyataan Facebook APM semalam, kedua-dua mangsa terbabit dan keluarga terperangkap diantara dua runtuhan tanah di Jalan Kuala Kubu Bharu menuju Bukit Frazer sejak pukul 1.30 tengah hari semalam.
Mereka antara mangsa terperangkap dalam perjalanan menuruni Bukit Fraser menuju ke Kuala Kubu Bharu.
Seramai 32 orang dewasa, tujuh kanak-kanak dan satu bayi antara mangsa yang terlibat dalam tragedi runtuhan itu. – K! ONLINE