KUALA LUMPUR – Seorang bekas banduan yang sebelum ini dipenjara sebanyak lima kali, dipenjara lagi buat kali keenam selama lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dua bilah parang di tempat awam tanpa kebenaran yang sah Disember lalu.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Foo Tuck Oon, 53, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan pada 31 Disember lalu. Mahkamah juga tidak mengenakan hukuman sebat terhadap tertuduh berikutan usianya sudah melebihi 50 tahun.
Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, Hakim Emelia Kaswati bertanya kepada tertuduh sudah berapa kali dia dipenjarakan dan atas kesalahan apa, tertuduh menjawab, sudah lima kali dipenjara atas kesalahan bergaduh.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur itu didakwa memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang panjang dan sebilah parang pendek tanpa kebenaran yang sah di Jalan Seri Sentosa, Off Jalan Klang Lama, Brickfields, di sini, pukul 10.20 pagi pada 31 Disember 2020. – K!ONLINE