SHAH ALAM – Gangguan bekalan air di lapan buah kawasan di Hulu Selangor yang terjejas akibat henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisek, Hulu Selangor berikutan banjir semalam akan pulih sepenuhnya pukul 7 pagi esok.
Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. ( Air Selangor) dalam kenyataan hari ini berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi mendapati dua buah kawasan sudah pulih sepenuhnya meliputi Kampung Serigala dan Rumah Murah PKT 2, Sungai Selisek.
Katanya, enam buah kawasan iaitu Kampung Bahom, Kampung Gesir Tengah, Kampung Lalang, Kampung Orang Asli, Kampung Sekolah dan Kampung Sungai Nilam/ Kampung Seri Pagi dalam proses pemulihan.
“Air Selangor menjangkakan pemulihan sepenuhnya bekalan air di semua kawasan terjejas adalah pukul 7 pagi esok.
“Bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya.
LRA Sungai Selisek terpaksa dihenti tugas pukul 5.40 petang semalam berikutan kenaikan air ke paras kritikal di muka sauk disebabkan hujan yang berterusan.
Air Selangor juga perlu memastikan semua peralatan LRA dalam keadan baik dan booeh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan Air Selangor terutama melibatkan arus elektrik.
Mengulas lanjut, Air Selangor menegaskan pengguna boleh mendapatkan maklumat perkembangan status terkini bekalan air menerusi semua saluran komunikasi rasmi atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300. -K! ONLINE.