fbpx

Banyak burung mati akibat sakit jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA bangkai burung yang kelihatan bergelimpangan di atas jalan raya di Rom. – LIPU

ROM – Penduduk tempatan terkejut menemui beratus-ratus bangkai burung pelbagai spesies bergelimpangan di atas jalan raya di pusat bandar Rom, Itali baru-baru ini, lapor akhbar Daily Mail.

Jurucakap Pertubuhan Antara­bangsa Bagi Perlindungan Haiwan, Loredana Diglio berkata, fenomena itu disebabkan oleh letupan bunga api pada malam ambang Tahun Baru 2021 yang menyebabkan burung terkejut.

“Ia mungkin mati akibat ketakutan. Burung terbang dalam kawanan dan berlaku rempuhan, melanggar cermin tingkap atau talian kuasa elektrik.

“Jangan lupa, burung boleh mati akibat serangan jantung,” katanya yang memberitahu bunyi bunga api meletup setiap tahun menyebabkan stres pada haiwan dan burung dipelihara mahupun liar.

Menurut Diglio, bunga api di­nyalakan di kawasan kejiranan dipenuhi pokok iaitu tempat kawanan burung bertelur.

Sementara itu, satu rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beratus-ratus bangkai burung di atas jalan raya pada waktu malam selepas sambutan tahun baru.

“Ini sisi manusia yang menjijikkan. Letupan bunga api menyebabkan ratusan burung mati, sukar untuk dipercayai,” kata perakam video itu.

Seorang pemandu teksi, Diego berkata, dia sukar untuk percaya apa yang dilihat pada malam sambutan itu.

“Pada mulanya, saya tidak tahu apa yang bertaburan di jalan dan apabila melihat secara dekat, ini semua bangkai burung dalam jumlah yang banyak.

“Bagaikan satu pemandangan yang amat memilukan. Waktu itu, jam menunjukkan 12.40 tengah malam dan saya rasa ini disebabkan kesan bunga api,” ujarnya.

Netizen yang menonton video itu menganggap kematian beratus-ratus burung itu sebagai satu petanda buruk bagi tahun 2021.

Sebilangan pengguna media sosial menyalahkan pihak berkuasa bandar itu kerana enggan mengharamkan penggunaan bunga api sejak beberapa tahun lalu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI