fbpx

67 pencawang TNB di Pahang, Johor ditutup akibat banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA- Kira-kira 5,845 penduduk terputus bekalan elektrik pagi ini berikutan penutupan sementara bekalan 67 pencawang elektrik di Pahang dan Johor akibat banjir.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenaytaan memaklumkan, sehingga pukul 10 pagi tadi, 57 pencawang di daerah Kuantan, Rompin, Maran, Jengka, Jerantut, Bentong, Raub dan Kuala Lipis di Pahang telah dihenti tugas demi keselamatan pengguna. Manakala 10 pencawang di daerah Johor Bahru, Kulai, Johor Jaya, Kluang dan Kota Tinggi turut ditutup di Johor.

“Penutupan 67 pencawang ini melibatkan 4,502 pengguna di Pahang dan 1,343 pengguna di Johor. Sementara itu, 18 pencawang elektrik di Johor dan tiga di Pahang menerima bekalan sementara daripada set janakuasa bergerak.

“Usaha menyambung bekalan sementara di daerah Kuala Lipis dan Raub terganggu akibat keadaan banjir yang belum surut dan kejadian tanah runtuh yang menghalang laluan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, TNB memaklumkan paras air Empangan Sultan Abu Bakar (SAB) di Cameron Highliands, Pahang kembali normal.

“Siren pertama telah dibunyikan secara putus-putus berserta lampu amaran kuning sejak jam 4.43 petang semalam di Empangan SAB untuk memberi amaran kepada penduduk bahawa paras sedang meningkat naik dan supaya bersedia untuk kemungkinan pengungsian jika paras terus meningkat.

“Walau bagaimanapun paras terkini adalah normal dan di bawah paras limpahan terkawal dan siren putus-putus telah dihentikan pada 2.43 pagi hari ini,” jelasnya.

TNB menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

“Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

“Setelah banjir surut, pengguna disaran untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian di dalam premis mereka yang dinaiki air,” tambahnya. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI