PITAS – Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila rumah didiami bersama keluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Ferry awal pagi tadi.
Kebakaran membabitkan satu blok menempatkan tiga unit rumah dan kedai runcit itu turut mengakibatkan Abu Bakar Hassan, 75, melecur pada bahagian anggota badan.
Bagaimanapun, mangsa berjaya dibawa keluar dari rumah oleh ahli keluarga dan orang awam dalam kejadian sekitar pukul 4.30 pagi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.36 pagi.
“Lapan anggota dan dua jentera terus diarahkan bergegas ke lokasi bagi melaksanakan operasi pemadaman kebakaran.
“Sejurus tiba, anggota bomba bertugas mendapati satu blok rumah jenis tidak kekal audah terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar sebuah kereta Perodua Kancil,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Mengulas lanjut mengenai kebakaran itu, Rony berkata tiada mangsa dilaporkan terperangkap.
“Seramai lima penghuni berjaya menyelamatkan diri dan seorang penghuni yang cedera dihantar ke Hospital Pitas oleh orang awam sebelum ketibaan bomba,” katanya.
Sementara itu, Rony menyatakan api berjaya dikawal sekitar pukul 5.30 pagi dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan. -K! ONLINE