fbpx

‘Saya rasa kebas, tak boleh berjalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. NASIR (tengah) berdiri dengan dibantu isteri dan anaknya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh Rawa, Machang semalam.

MACHANG – Seorang tukang kebun sekolah runsing memikirkan nasib isteri dan tiga anaknya apabila dia hilang punca pendapatan sejak sebulan lalu selepas disahkan menghidap angin ahmar.

Lebih membimbangkan, Mohd. Nasir Mat Hassan, 60, memiliki dua anak kategori orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan perhatian.

Menurut Mohd. Nasir, pe­nyakit itu menyerangnya semasa dia bekerja di sebuah sekolah di daerah ini sebulan lalu.

“Saya berasa kebas pada kaki dan tidak boleh berjalan. Beberapa hari kemudian, pinggang saya pula tidak boleh digerakkan.

“Keadaan itu menyebabkan saya terpaksa dibawa ke Hospital Machang di sini dan doktor mengesahkan saya menghidap penyakit angin ahmar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paloh Rawa di sini semalam.

Selain bergantung dengan ubat hospital, Mohd. Nasir turut berurut sebagai alternatif untuk menyembuhkan penyakitnya.

Jelas lelaki itu, penyakit ­angin ahmar yang dihidapinya menyebabkan dia hanya mampu berengsot untuk bergerak selain menggunakan kerusi roda.

Mohd. Nasir berharap agar dia segera sembuh supaya dapat menjalankan tanggungjawab menyara isterinya, Rosilawati Yaacob, 49, dan dua anak OKU masalah pembelajaran iaitu Nur Balqis Zahara, 11 dan Muhammad Lokman, 15.

“Anak sulung (Mohd. Khuzairi) banyak membantu mengangkat saya duduk atas kerusi roda dan membawa ke hospital,” katanya.

Sementara itu, Rosilawati berkata, sejak suaminya sakit, mereka sekeluarga berdepan kesukaran membeli barangan dapur kerana tiada simpanan.

Sebelum ini, mereka bergantung dengan gaji suaminya sebanyak RM1,100 dan jumlah itu digunakan untuk berulang-alik ke hospital sejak sebulan lalu.

Anak sulung pasangan itu kini bekerja sebagai tukang rumah secara sambilan untuk membantu keluarga.

Orang ramai yang bersimpati boleh memberi sumbangan menerusi akaun Bank CIMB bernombor 7057447387 atas nama Mohd. Nasir Mat Hassan atau menghubungi 017-9724459.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI