SRI AMAN – Luluh hati seorang wanita tatkala menyaksikan dua anak dan tujuh cucunya tenggelam di depan mata dalam kejadian lemas di Pangkalan Feri Triso, Beladin di Betong dekat sini kelmarin.
Munah Agon, 58, berkata, semasa menyaksikan kejadian itu, dia hanya mampu berdoa agar ada dalam kalangan mereka masih bernyawa selepas satu persatu ahli keluarganya dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang awam.
Namun, harapan wanita itu musnah apabila dua anak perempuan dan tujuh cucunya disahkan sudah meninggal dunia.
Menceritakan mengenai kejadian itu, Munah berkata, mereka menaiki dua kenderaan dan dalam perjalanan menghala ke Kuching pada hari kejadian.
“Sebelum kejadian itu, saya keluar dari kenderaan kerana hendak membuang air kecil.
“Ketika itu, saya melihat kenderaan yang dipandu anak tiba-tiba meluncur dan tergamam sebaik melihat terjatuh ke dalam sungai. Kejadian ini berlaku di depan mata saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sri Aman di sini semalam.
Munah berkata, sebelum kejadian itu, salah seorang cucunya yang menaiki Ford Ranger tersebut keluar dari kenderaan dan masuk ke dalam kenderaan yang dinaikinya bersama enam lagi ahli keluarga yang lain.
“Mujur cucu saya, (Fatihah Najwa Mohamad Hamzah) yang berusia 10 tahun sempat keluar dan masuk ke dalam kereta saya. Saya tidak dapat membayangkan jika kehilangan 10 ahli keluarga serentak,” katanya.
Keluarga itu menaiki dua buah kenderaan dari Kapit ke Kuching kelmarin untuk menghantar dua cucunya iaitu Khairunnisa Mohamad Hamzah, 14, dan Nor Shuhada, 16, yang akan mengikuti pengajian di sebuah madrasah di Samariang.
Jelasnya, kenderaan Ford Ranger itu pada mulanya dipandu anaknya, Siti Aisha Abdullah, 36, sebelum seorang lagi anaknya, Ronany Ting, 33, menggantikan tempat Siti Aisha sehingga tragedi tersebut berlaku.
Sementara itu, suami Siti Aisha, Mohamad Hamzah Razali, 43, berkata, dia reda dengan pemergian isteri dan lima anaknya.
Anak yang masih ada bersama Hamzah kini cuma Fatihah Najwa dan Mohd. Imran, 13.
Menurut lelaki itu, sehari sebelum kejadian, Mohd. Aiman berkelakuan agak pelik dengan memberitahu mereka akan mati.
“Kakak-kakaknya ada menegurnya, namun dia hanya tersenyum,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, hari pertama tahun 2021 diiringi tragedi menyayat hati apabila sembilan individu termasuk bayi enam bulan lemas selepas Ford Ranger terjatuh dari tanjakan jeti di Jalan Beladin Triso.